Masuk Form Six
Kalau masuk form six atau sekolah menengah atau tingkatan enam kena menjadi budak sekolah selama dua tahun lagi.
Masuk form six untuk ambil STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) atau STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) di tahun kedua.
Ada pelajar lepasan SPM yang tidak suka masuk tingkatan enam kerana mereka rasa yang mereka masih lagi menjadi 'pelajar sekolah'.
Mereka masih memakai seragam sekolah, perlu ke sekolah setiap hari, dan masih berada di 'sekolah' dan bukan institusi pengajian tinggi atau kampus.
Tambahan pula, peperiksaan STPM dianggap sebagai peperiksaan yang paling sukar di Malaysia. Namun kenyataan ini tidak pernah dibuktikan.
Biasanya pelajar memilih untuk masuk tingkatan enam setelah gagal permohonan ke mana-mana IPTA.
Jika mendapat keputusan yang baik dalam STPM, pelajar tingkatan enam boleh memohon pengajian peringkat ijazah di IPTA.
STPM adalah tiket terus untuk ke program-program pengajian peringkat ijazah.
Namun ada juga beberapa kebaikan mengambil STPM berbanding dengan program lain.
Misalnya, STPM lebih bernilai dari matrikulasi.
Ini kerana pelajar boleh memohon kerja dengan sijil STPM tapi tidak boleh (atau tidak laku) jika memohon kerja menggunakan kelulusan matrikulasi.
Dari segi yang kurang menarik pula ialah tempoh pengajian untuk mengambil STPM adalah selama dua tahun.
Di sesetengah institusi pengajian tinggi, ada yang boleh menghabiskan diploma dalam tempoh yang sama.
Tetapi sudah pastilah yuran pengajian mengambil tingkatan enam adalah terlalu jauh amat rendah berbanding dengan yuran pengajian di peringkat diploma terutama kalau mengambil diploma di kolej-kolej swasta.
Tempoh pengajian selama dua tahun itu juga memberi ruang untuk pelajar merancang kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringat yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, secara puratanya, pelajar dianggap mengalami kerugian masa selama setahun. Tetapi murah.
Mohon masuk IPT atau IPTS
Institusi Pendidikan Tinggi terdiri daripada Universiti Awam (dulu disebut sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam - IPTA) yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) termasuk International Islamic University of Malaysia (IIUM) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dan Universiti Teknologi (UiTM) yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).
Selain dari itu, IPT juga terdiri daripada Universiti atau Kampus Cawangan, Kolej Universiti, dan Kolej yang diluluskan dan didaftarkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
IPTS ialah institusi pengajian tinggi swasta. Institusi bukan milik kerajaan dan tidak dibiayai oleh kerajaan. Lantaran itu yuran pengajian di IPTS adalah lebih mahal.
Ada tiga jenis IPTS iaitu:
- Universiti: Institusi pendidikan ini boleh menganugerahi ijazah pertama dan ke atas.
- Kolej Universiti: Institusi ini belum mencapai tahap universiti lagi namun boleh mempunyai program ijazah mereka sendiri.
- Kolej: IPTS jenis kolej menawarkan program sijil dan diploma. Kolej tidak boleh ada program ijazah mereka sendiri. Namun kolej boleh mengadakan program berkembar dengan universiti lain dalam atau luar negara untuk menawarkan program ijazah.

Universiti ialah destinasi puncak bagi semua pelajar.
Namun tidak semua pelajar layak masuk ke universiti.
Pelajar yang berjaya masuk ke universiti selepas SPM ialah pelajar yang cemerlang.
Lepasan SPM memohon kemasukan ke Universiti Awam melalui UPU.
Program Matrikulasi
Program matrikulasi adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Matrikulasi menawarkan aliran sains (sains hayat & sains fizik), perakaunan dan kejuruteraan.
Pelajar akan belajar di kolej-kolej matrikulasi. Setakat ini ada 17 kolej matrikulasi di Malaysia.
Seperti juga dengan lepasan asasi, pelajar lepasan matrikulasi boleh memohon kemasukan ke IPTA melalui UPU.
Program matrikulasi adalah selama setahun atau dua tahun bergantung kepada keputusan SPM pelajar.
Namun agak sukar untuk masuk ke program matrikulasi kerana persaingan adalah sangat kuat dan pelajar memerlukan keputusan SPM yang sangat baik.
Kelebihan program matrikulasi pula ialah ialah tempoh pengajian yang singkat iaitu setahun sahaja.
Kekurangannya pula ialah, sekiranya pelajar gagal matrikulasi ini, pelajar akan hanya mempunyai SPM untuk meneruskan kerjayanya.
Kalau pun lulus matrikulasi namun gagal masuk ke IPTA, matrikulasi tersebut tidak laku untuk memohon pekerjaan.
TVET
TVET atau Technical Vocational Education Training ialah satu program baru yang diperkenalkan oleh kementerian yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Program pengajian ini menyediakan pengajian dari peringkat sijil sehinggalah ke peringkat diploma lanjutan (advance diploma).
Pelajar program ini akan dilatih mengikut jenis industri dan latihan-latihan yang disediakan adalah yang khusus untuk keperluan industri berkenaan.
Masuk Politeknik
Politeknik melahirkan lulusan separa profesional dalam bidang kejuruteraan, perkhidmatan dan perdagangan di peringkat sijil kemahiran, diploma, dan diploma lanjutan.
Lulusan politeknik dalam bidang-bidang ini memberi bekalan sumber manusia dalam sektor awam mahupun swasta.
Politeknik seluruh Malaysia menerima pelajar lepasan SPM, pelajar yang telah berjaya mendapatkan Sijil Politeknik, pelajar lulusan Kolej Komuniti, dan pelajar berkeperluan khas (masalah pendengaran) yang lahir dari sekolah pendidikan khas.
Dalam tahun 2010, tiga politeknik telah dinaiktarafkan untuk mencapai status politeknik perdana yang setara dengan universiti iaitu Politeknik Ungku Omar (Ipoh, Perak), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam, Selangor), dan Politeknik Johor Bahru.
IPTS - Kolej Swasta
Program peringkat sijil dan diploma disediakan di kolej-kolej swasta.
Ada beratus-ratus kolej swasta di Malaysia sekarang ini.
Hampir setiap hari kita boleh lihat iklan kolej swasta di akhbar-akhbar.
Kelayakan untuk ke program sijil atau diploma bergantung kepada gred yang diperolehi dalam peperiksaan SPM atau yang setaraf.
Sebagai contoh, kalau hanya ada satu kepujian dalam mata pelajaran peperiksaan SPM, layak untuk ke program sijil sahaja.
Namun kalau ada sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam mata pelajaran SPM, layak untuk memohon program-program diploma.
Ada kolej swasta yang menawarkan program diploma bersekutu dengan IPTA lain di Malaysia.
Misalnya Kolej Teknologi Timur dan UNikop menawarkan program diploma UiTM.

Walaupun masa belajar adalah lebih panjang (hampir 3 tahun, berbanding hanya dua tahun di matrikulasi atau Tingkatan 6) namun pemegang diploma mempunyai lebih peluang pekerjaan.
Dari segi yang lain, pemegang diploma menimba lebih banyak ilmu dari pelajar matrikulasi atau Tingkatan 6.
Tambahan pula, berbeza dengan pengajian di matrikulasi atau Tingkatan 6, bidang yang diambil di peringkat diploma adalah lebih menepati keperluan industri dalam dunia perkerjaan.
Kebolehpasaran lepasan diploma adalah lebih tinggi berbanding dengan lepasan matrikulasi atau tingkatan enam.
Program Asasi (foundation)
Program asasi sebenarnya adalah program persediaan untuk ke program ijazah tertentu di kolej atau universiti yang sama.
Ini bermakna, program asasi ini bukanlah program yang berdiri sendiri (stand alone). Program asasi mesti mempunyai program ijazah yang sedia menanti.
Terdapat kolej-kolej swasta yang menawarkan program asasi secara percuma (dengan syarat dan terma) misalnya Kolej Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur.
International Baccalaureate (IB)
Program International Baccalaureate (IB) atau International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) ialah salah satu dari program pra-universiti di Malaysia (selain dari tingkatan enam dan matrikulasi).
Program ini adalah program antarabangsa yang dibangunkan di Geneva, Switzerland dan sudah semestinya juga diiktiraf oleh institusi pendidikan antarabangsa. Dikatakan sebanyak 100 negara mengiktiraf peperiksaan ini.
Siapakah yang memohon program ini? Mereka ialah lepasan SPM atau lepasan peperiksaan O-Level dan berumur antara 16-19 tahun. Para lepasan SPM memerlukan minimum 5C untuk mengambil IB. Tempoh pengajian Diploma International Baccalaureate ialah selama dua tahun (24 bulan) yang merangkumi empat semester dengan 20 minggu bagi setiap semester.
Buat masa ini, program ini ditawarkan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (mulai 2011), Kolej Tunku Kursiah, Negeri Sembilan (mulai 2016), dan sekolah antarabangsa (international school) yang terkenal seperti International School of Kuala Lumpur di Ampang, Mont Kiara International School di Mont Kiara Kuala Lumpur, Nexus International School di Putrajaya, dan International School of Penang di Pulau Pinang.
|